suria

Khalid Alu-Alukan Titah Ucapan Sultan Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau mengalu-alukan titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan pemimpin negeri bukan hanya bercakap tetapi melaksanakan program untuk manfaat orang ramai. Beliau berkata titah Baginda itu selaras dengan titahnya pada majlis berkaitan meningkatkan status sosioekonomi penduduk Selangor. Baginda telah bertitah demikian pada upacara penganugerahan darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-64 di Istana Alam Shah, Klang semalam. "Titah ucapan Sultan dalam mengingatkan Menteri Besar dan anggota exconya untuk menjalankan tugas mereka dengan dedikasi, amanah dan bekerjasama dengan kakitangan awam, bukanlah perkara baru dan sering mengingatkan selama ini. Ia hanya satu cadangan dan nasihat yang dibuat oleh Sultan dan tidak ada kaitan dengan pandangan yang berbeza di kalangan pemimpin negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertunjukan Kereta Vintage yang diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah dekat sini hari ini.

Acara itu dianjur bersama oleh Royal Malaysia Vintage dan Kelab Kereta Klasik (RMVCC) dan ICity, cadangan lokasi MSC Malaysia Cybercentre dekat sini. Dalam perkembangan lain, Khalid berkata kerajaan Selangor akan menganjurkan forum awam untuk membincangkan keputusannya melarang semua kakitangan awam, penuntut institusi pengajian tinggi dan anak syarikat milik kerajaan negeri daripada mengikuti kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) pada 17 Disember di Petaling Jaya.

Beliau berkata semua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN Pakatan Rakyat muda di negeri ini yang telah menghadiri kursus itu akan juga dijemput bagi bersama-sama membincangkan cara-cara memperbaiki kursus sivik itu untuk manfaat negara.

Langkah itu diambil kerana kursus tersebut dilihat sebagai satu proses mengindoktrinasi oleh Barisan Nasional (BN) untuk menanamkan sifat perkauman, memecah-belah kaum, ketegangan kaum dan benci terhadap pembangkang.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata kira-kira RM8 juta diperuntukkan pada tahun depan untuk mempromosi Selangor sebagai destinasi pelancongan dan beliau telah menandatangani kontrak dengan beberapa stesen televisyen untuk tujuan tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain