suria

Lima Masih Relevan Sebagai Platform Industri Pertahanan Dan Udara

LANGKAWI: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) yang berakhir semalam, masih merupakan platform perniagaan yang relevan bagi industri pertahanan dan udara, meskipun krisis ekonomi dunia menjejaskan perniagaan baru.

Berdasarkan sejumlah RM4.7 bilion nilai kontrak yang dimeterai sepanjang pameran lima hari itu, ia membuktikan bahawa walaupun berlaku krisis ekonomi, peluang perniagaan dalam industri pertahanan dan udara masih menjanjikan peluang yang besar.

Sebahagian daripada kontrak yang ditandatangani oleh syarikat Malaysia, mencerminkan reputasi dan perakuan dunia yang semakin meningkat.

Walaupun nilai kontrak LIMA 2009 lebih rendah berbanding RM11 bilion yang direkodkan pada edisi dua tahun lepas, hakikatnya, urus janji perniagaan itu dimeterai merupakan gambaran mengenai keyakinan peserta industri, tempatan dan antarabangsa.

Syarikat Malaysia, terutamanya, telah menunjukkan keupayaan sebenar dan memperoleh reputasi dan perakuan yang lebih besar, dengan kebanyakannya mendapat kontrak daripada syarikat pertahanan dan udara dunia seperti BAE Systems dan Boeing.

Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd, sebagai contoh, mempunyai kontrak dalam tangan bernilai RM2.8 bilion daripada pelbagai pelanggan bagi mengeluarkan komponen Airbus dan Boeing.

Pastinya, syarikat tidak akan berhenti di sini memandangkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar mereka merangka, mereka bentuk dan membina pesawat satu tempat duduk yang lebih murah bersendirian berasaskan rangka pesawat Eagle 130B yang dikeluarkan dengan jayanya oleh syarikat itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata syarikat Malaysia sudah membuktikan keupayaan sebenar mereka, dengan pengenalan produk baharu seperti Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV).

Ini katanya, akan memperkukuh industri dan membantu menyokong LIMA 2011 untuk menjadi hab industri pertahanan Asean.

Naib Presiden Kanan Kumpulan Industri Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) Lt Kol (B) Ir Kamarulzaman Zainal, berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk muncul sebagai pusat udara serantau menjelang 2015 memandangkan negara kini dilengkapi semula keperluan asas untuk menjadi peserta utama serantau.

Beliau berkata walaupun berlaku krisis kewangan dunia, industri udara tempatan diunjur berkembang pada kadar selesa, kirakira lapan peratus tahun depan susulan pengembangan subsektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) udara.

Menurutnya perolehan industri itu dijangka meningkat kepada RM26 bilion tahun ini berbanding RM25 bilion tahun lepas walaupun ekonomi dunia lembap.

Tekanan untuk mengurangkan kos pengeluaran dan operasi berikutan kelembapan ekonomi global, akan menggalakkan lagi aktiviti pelaburan dan penyumberan luar di Malaysia, katanya.

Malaysia menarik lebih 13 pelaburan asing dalam sektor udara antara 2006 dan 2008, termasuk pelan oleh pengeluar peringkat pertama untuk membuka perniagaan dalam negara.

Nilai pelaburan baru dan pelaburan semula sepanjang tempoh itu melebihi RM1.4 bilion, dengan peningkatan tiga kali ganda dilihat mulai 2007 kepada kirakira RM990 juta pada 2008.

Sejak 1991, LIMA muncul sebagai destinasi utama peserta udara dan maritim,mensasarkan pasaran Asia PAsifik dalam sektor awam, pertahanan dan penguatkuasaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain