suria

Dua Pelajar Kolej Maut Motosikal Bertembung Kereta

MELAKA: Dua pelajar sebuah kolej di sini yang menunggang motosikal berasingan maut manakala dua lagi pembonceng cedera parah setelah kenderaan mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Ujung Pasir, Bandar Hilir di sini hari ini.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah ASP Poon Nam E Kling berkata kedua-dua mangsa berusia 19 tahun yang meninggal dunia ialah A.Suhantharajan, yang berasal dari Jalan Taming Sari di sini dan K.Thiru Kumaran dari Taman Nilai, Negeri Sembilan.

"Dua lagi pembonceng motosikal dikenali sebagai R.Sharvin Kumar dan P.Kesavan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Melaka (HM)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal itu dalam perjalanan dari Ujung Pasir menuju ke Bandar Hilir bertembung dengan sebuah kereta Nissan Sentra yang datang dari arah bertentangan.

Kejadian berlaku kira-kira 6.10 pagi di hadapan bangunan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.

Katanya mayat mangsa dibawa ke HM untuk dibedah siasat manakala identiti pemandu kereta Nissan tidak diketahui kerana belum ada laporan polis dilakukan sehingga kini.

Sementara itu, saudara kepada mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Vigneswaran, 20, berkata dua mangsa yang maut itu adalah pelajar tahun dua kursus Diploma Elektronik di Kolej Yayasan Melaka (KYM) di Bukit Sebukor, di sini.

"Suhantharajan adalah anak bongsu daripada empat beradik dan dipercayai melakukan kerja sambilan di sebuah pusat membelibelah di Melaka Raya," katanya. BERNAMA

Artikel Lain