suria

Polis Tawau Cari Lrlski Bantu Siasatan Kes Bunuh

TAWAU: Polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes pembunuhan di Blok 2 Kampung Titingan di sini malam tadi.

Ketua Polis Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat yang dapat membantu polis mengesan Elbin Hal Tahil, 27, di minta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 malam tadi, Abdul Hakim, 37, ditemui mati di tempat penjemuran ikan di sebuah rumah di kampung itu dengan dua kesan luka di leher sebelah kanan serta bahu kirinya hampir putus.

Ibrahim berkata Abdul yang menggunakan dokumen perjalanan IMM13, dokumen yang diberikan oleh Jabatan Imigresen kepada pelarian Filipina untuk memasuki Sabah buat sementara, dikatakan berkunjung ke rumah seorang rakannya sempena hari raya Aidiladha.

Beliau berkata Abdul bersama anak lelakinya yang berusia 12 tahun dikatakan sedang berehat di halaman rumah tersebut apabila beliau tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki.

Menurutnya Abdul dipercayai kenal dengan penyerangnya dan polis percaya kejadian itu berpunca daripada masalah peribadi dan perbuatan balas dendam.

"Selepas menetak Abdul, penyerang dipercayai terus terjun ke air dan melarikan diri ke arah Blok 6 Kampung Titingan di mana suspek dikesan kali terakhir, dan polis juga menemui parang yang digunakan untuk menetak Abdul," katanya. BERNAMA

Artikel Lain