suria

AidilAdha Disambut Dengan Penuh Kesyukuran Di Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh rasa kesyukuran disertai dengan semangat pengorbanan dalam menghadapi pelbagai dugaan dan bencana.

Walaupun banjir melanda beberapa negeri sejak minggu lepas terutama di Kelantan dan Terengganu, namun sambutan Aidiladha di negeri-negeri terbabit tetap meriah.

Di Terengganu, seramai 1,026 mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Hulu Terengganu dan Marang menyambut kedatangan Aidiladha secara ala kadar.

Aidiladha merupakan hari kebesaran Islam di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam mentaati perintah Allah s.w.t.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. ini merupakan tanda kebesaran Allah dan kekuatan iman kedua-dua Nabi Allah dalam mentaati suruhanNya.

Umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim A.S. yang diperintah Allah S.W.T. agar menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. bagi membuktikan kepatuhan baginda terhadap suruhan Allah S.W.T. dan peristiwa itu menjadi lambang pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Masjid Negara di sini.

Turut berangkat dua anakanda baginda, iatu pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mu'az.

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad mengimamkan solat sunat itu sebelum menyampaikan khutbah bertajuk 'Mewujudkan Keturunan dan Pemimpin Pelapis yang Soleh" yang antara lain menyentuh mengenai keperluan mendidik kanak-kanak dengan sebaik-baiknya sebagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, bersama kedua-dua isterinya Siti Sarah dan Siti Hajar.

Hampir 5,000 jemaah dengan pakaian berwarna-warni bersama-sama menunaikan solat sunat itu, serta mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Tuanku Mizan.

Di shah Alam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 20,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adatadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Datuk Dr Hassan Ali dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Solat sunat itu diimamkan oleh Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, dan majlis korban di masjid itu akan dilakukan esok membabitkan 28 ekor lembu.

Di Kota Bharu, Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid negeri, Masjid Muhammadi di sini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed serta Menteri Besar Kelantan yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas selesai menunaikan solat, baginda menyertai majlis ramah mesra bersama rakyat di Istana Balai Besar, di sini manakala Nik Abdul Aziz pula mengadakan rumah terbuka di Masjid Pulau Melaka.

Esok, baginda dan Istana Kelantan akan mengadakan majlis korban dan menyumbangkan 50 ekor lembu pada majlis korban Istana Diraja Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji.

Mustapa pula akan mengadakan majlis korban 46 ekor lembu serta rumah terbuka di kediamannya Darul Falah, Jeli pada hari raya kedua.

Di Ipoh, Sultan Perak Sultan Azlan Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 2,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Diary yang turut disertai oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan kerabatkerabat diraja, serta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Di Kuala Pilah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 500 umat Islam di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, dekat sini.

Selesai solat, baginda berdua berkenan menyaksikan penyembelihan enam ekor lembu untuk ibadat korban di perkarangan masjid berkenaan, dan turut mengurniakan daging korban kepada kariah masjid itu.

Manakala di Johor Bahru, kira-kira 1,000 umat Islam menyertai Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim dan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Abu Bakar di sini.

Di Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri.

Universiti Sains Malaysia turut mengadakan majlis korban di masjid universiti itu hari ini dan esok melibatkan 27 ekor lembu sumbangan kakitangan USM dan orang ramai yang tinggal di kawasan berdekatan. Di Kuching, kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya bersama-sama Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar.

Di Kuala Terengganu, kira-kira 2,000 umat Islam termasuk Setiausaha Kerajaan Datuk Mokhtar Nong menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid AlMuktafi Bilah Shah, Ladang di sini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Dr Azizol Mohd Sharun berkata kira-kira 3,000 ekor lembu akan dikorbankan sempena sambutan Aidiladha tahun ini, dan turut mengingatkan mereka yang terlibat dengan penyembelihan serta kerjakerja melapah supaya memastikan peralatan digunakan bersih bagi mengelak jangkitan taun yang berlaku di negeri itu sejak awal bulan ini. Di Perlis, solat sunat Aidiladha diadakan di 103 masjid dan lebih 200 buah surau, dan selepas solat itu, beberapa masjid serta surau memulakan majlis korban.

Pengarah JPV Perlis Dr Tariq Jaafar berkata 1,000 ekor lembu akan disembelih untuk ibadah korban pada tahun ini di negeri itu. Di Kuantan, kira-kira 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, dan selepas selesai solat, majlis korban diadakan di hadapan masjid.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan turut mengadakan majlis korban dengan menyembelih sembilan ekor lembu di perkarangan balai berkenaan.

Di Melaka, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyertai kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid AlAzim di Bukit Palah di sini.

Majlis korban berkelompok sebanyak 21 ekor lembu anjuran kerajaan negeri akan dijalankan esok di perkarangan masjid berkenaan. Di Kota Kinabalu, hampir 7,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri, Sembulan dekat sini dan majlis penyembelihan korban pula akan diadakan di perkarangan masjid itu esok.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menunaikan sembayang Aidiladha di Masjid Sri Aman di Rancangan Sungai Manila Sandakan.

Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah kini berada di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji.

Di Alor Setar, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menunaikan sembahyang sunat Aidiladha di Masjid Zahir bersama lebih 3,000 umat Islam.

Selepas menunaikan solat, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat mengambil kesempatan bersalaman dengan baginda.

Artikel Lain