suria

Agong Terima Watikah Pelantikan Duta dan Pesuruhjaya Tinggi Asing Ke Malaysia

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima watikah pelantikan daripada Duta Austria ke Malaysia, Andrea Wicke pada majlis istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Mengadap Bakal Duta dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia di Istana negara di sini, hari ini. --Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menerima watikah pelantikan daripada empat Duta Besar serta seorang Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia di Istana Negara.

Empat Duta Besar itu ialah Duta Ukraine ke Malaysia iaitu Igor Lossovskiy, Duta Austria ke Malaysia Andrea Wicke, Duta Republik Kyrgyz ke Malaysia Tursunbay Bakir Uulu dan Duta Republik Islam Afghanistan ke Malaysia Abdul Samad Samad serta Pesuruhjaya Tinggi Republik Ghana ke Malaysia iaitu Daniel Kwasi Abodakpi. Lossovskiy, 52, merupakan lulusan dari Taras Schevchenko State University di Kiev, Ukraine dalam bidang Kejuruteraan Geofizik.

Beliau memulakan kariernya seawal usia 22 tahun dengan menjawat jawatan Jurutera Kanan di Ukrgeophysics di Kementerian Geologi Ukraine pada 1979 serta pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua di Jabatan Wilayah Pertama, Kementerian Luar, Ukraine pada Januari 2007.

Wicke,49, Duta Besar Austria ke Malaysia, berkelulusan ijazah Sarjana dalam bidang Falsafah dan sebelum ini menjadi Duta Besar Austria ke Lithuania.

Duta Republik Kyrgyz ke Malaysia, Bakir Uulu, 51, berkelulusan Doktor Sejarah dari Graduate School of Philosophy Kiev State University pada 1990 dan pernah menjadi Anggota Parlimen Kyrgyz. Duta Afghanistan Abdul Samad, 61, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Ekonomi, Universiti Kabul pada 1971.

Sepanjang kerjayanya beliau pernah dilantik sebagai Duta Afghanistan ke Tashkent selama empat tahun mulai 2002.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Republik Ghana ke Malaysia yang baru dilantik, Abodakpi, 59, ialah Anggota Parlimen kawasan Keta, Ghana dari 1993 sehingga kini dan pernah menyandang jawatan Menteri Perdagangan dan Industri Ghana.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain