suria

Banjir di Hulu Terengganu Pulih Sepenuhnya

KUALA TERENGGANU:Banjir di daerah Hulu Terengganu pulih sepenuhnya manakala di Kuala Terengganu, Dungun dan Marang keadaan beransur baik.

Jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Terengganu berkata jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan di Terengganu kini seramai 995 orang iaitu Kuala Terengganu (618), Dungun (346) dan Marang (31) orang.

Katanya semua pusat pemindahan di Hulu Terengganu ditutup pukul 6.30 petang semalam setelah semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan bacaan paras air di semua sungai utama di Terengganu berada pada paras biasa.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Kelantan Mohamad Rosle Mamat meminta masyarakat negeri itu mengambil berat arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku gelombang ketiga yang menyebabkan banjir lebih buruk.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata perkara itu boleh berlaku kerana pada kebiasaan, banjir di Kelantan berlaku dalam tiga peringkat yang menyebabkan kawasan rendah digenangi air.

Gelombang ketiga yang mungkin berlaku boleh menyebabkan keadaan yang sama atau lebih buruk lagi memandangkan musim tengkujuh di pantai timur belum berakhir, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain