suria

Banjir Di Kelantan Makin Buruk, 3 787 Mangsa Di Pusat Pemindahan

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pantai Timur terutamanya Kelantan semakin buruk dengan cuaca gelap dan hujan renyai di negeri itu menyebabkan mangsa di pusat pemindahan banjir meningkat kepada 3,787 orang berbanding 3,303 orang semalam.

Daripada 970 keluarga dipindahkan hari ini, Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah tertinggi seramai 2,008 orang dan jajahan itu termasuk kawasan Rantau Panjang, bandar zon bebas cukai berdekatan sempadan Thailand, yang terjejas teruk dalam banjir gelombang kedua sehingga ditenggelami air sedalam dua meter.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri berkata Kuala Krai pula merekodkan jumlah mangsa seramai 885 orang, Tumpat (438 orang), Tanah Merah (333 orang), Kota Baharu (63 orang) dan Machang (60 orang).

"Hanya Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Tangga Krai dan Jambatan Guillemard mencatatkan atas paras bahaya, manakala Sungai Galas berada di paras berjaga-jaga dan Sungai Lebir berada di paras amaran," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sebanyak 21 jalan ditutup untuk semua kenderaan melibatkan enam jajahan antaranya di Gua Musang di Jalan masuk Aring 8 dan 9 di Kilometer 15; di Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan kilometer empat; Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Krai; di Machang Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata dan di Pasir Puteh, Jalan Semerak kilometer 11.

Di KUALA TERENGGANU, keadaan banjir di Terengganu semakin reda apabila mangsa banjir menurun kepada 6,899 orang berbanding 7,739 petang semalam.

Bagaimanapun, jika sebelum ini Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Setiu dilanda banjir sejak Isnin lepas, banjir kini turut melanda daerah Kuala Terengganu.

Seramai 496 penduduk dari beberapa kampung dan taman perumahan di Kuala Terengganu iaitu Kampung Pusu Tiga, taman perumahan Seri Embun, Taman Darul Iman, Kampung Banggol Peradong, Kampung Temiang dan Kampung Titian Baru terpaksa dipindahkan sejak 3 petang semalam berikutan hujan lebat sekali-sekala.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata sehingga pagi ini, sebanyak enam pusat pemindahan dibuka di daerah Kuala Terengganu dengan 92 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (301), Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (50), Sekolah Kebangsaan Atas Tol (30) dan Sekolah Kebagsaan Banggol Peradong (23).

Sementara itu, katanya mangsa banjir di Setiu ialah seramai 91 orang, Kemaman (1,060), Dungun (3,099), Besut (318), Marang (1,529) dan Hulu Terengganu (494). Beliau berkata jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Jambatan Tepoh ditutup kepada semua kenderaan ringan sejak pagi tadi setelah ditenggelami air 0.5 meter air manakala jalan sama di Pengkalan Kubur telah dibuka semua kepada semua kenderaan.

Beberapa sungai di negeri itu turut mencatat paras bahaya iaitu Sungai Besut di Pengkalan Nangka yang setinggi 4.52 meter (melepasi paras bahaya 4.0 meter), Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri 8.59 meter (8.50 meter), Sungai Nerus di Kampung Langkap 21.79 meter (21.50 meter) dan Sungai Kertih di Kampung Batu Putih 3.39 meter (3.2 meter).

Jurucakap itu berkata setakat ini, tiada kemalangan jiwa akibat banjir dilaporkan di Terengganu. BERNAMA

Artikel Lain