suria

Hakim perintah SPRM jangan ganggu saksi kedua kes rasuah Norza

TEMERLOH: Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini melarang pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengganggu dan menghubungi saksi kedua kes perbicaraan rasuah membabitkan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya Halimi Kamaruzzaman.

Hakim Azuar Che Yusof mengeluarkan perintah tersebut selepas peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza, membuat permohonan.

Muhammad Shafee mengemukakan permohonan tersebut selepas Mohd Taupik Hussain dalam keterangannya mendakwa dia didera pegawai pegawai penyiasat SPRM ketika memberi keterangan berhubung kes itu kepada badan berkenaan.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, Mohd Taupik yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju telah dipukul dan diaibkan dengan dilondehkan seluar dan bajunya oleh pegawai SPRM yang menyoalsiasatnya.

Katanya, saksi itu diperlakukan demikian dengan tujuan memaksanya membuat pengakuan bahawa dia hadir dalam satu pertemuan di Mont Kiara bersama tertuduh kedua (Mohamad Norza) pada 19 Jan lalu pada pukul 8 malam.

Muhammad Shafee memberitahu hakim ketika mencelah soal jawab Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairy terhadap saksi kedua tersebut.

Ahmad Sazilee kemudiannya meminta kebenaran mahkamah supaya menyambung perbicaraan esok kerana beliau tidak mempunyai salinan asal keterangan percakapan kali kedua Mohd Taupik kepada SPRM yang mendakwa dia bertemu Mohamad Norza di Mont Kiara pada tarikh tersebut.

Terdahulu ketika memberikan keterangan kepada mahkamah, Mohd Taupik berkata dia ke Temerloh bersama Mohamad Norza dan dua lagi rakan bagi menghadiri jamuan yang diadakan di rumah Naib Ketua Umno Bahagian Temerloh Mohd Anuar Mohd Yunos di Taman Tasik di sini pada 20 Jan lalu.

Menjawab soalan Ahmad Sazilee, Mohd Taupik berkata dia tidak tahu sama ada Mohamad Norza berucap atau pun tidak di majlis itu kerana berada di luar rumah.

Katanya pada majlis itu Mohamad Norza memperkenalkannya kepada Halimi Kamaruzaman dan diberitahu bahawa Halimi adalah bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Maran.

Menjawab soalan lain, Mohd Taupik berkata dia tidak menerima wang atau sampul surat berwarna putih semasa berada di perkarangan rumah Mohd Anuar.

Terdahulu, saksi pertama kes itu, Penolong Penguasa SPRM Pahang, G. Jayaraj memberitahu bahawa dia telah diarahkan Penolong Kanan Penguasa SPRM, Azizi Ahmad supaya merakam gambar lokasi kejadian di rumah Mohd Anuar pada 16 April lepas.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno Mac lepas.

Dia juga dituduh memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama. Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 6.30 petang, 20 Jan lepas.

Halimi, 47, dari Kuantan, pula dituduh memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar pada tarikh dan di tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel Lain