suria

Dr Asri Sedia Sertai Politik Untuk Berdakwah?

KOTA BAHARU: Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau sedia menyertai politik sebagai jalan terakhir jika usahanya untuk menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan dengan halangan.

Menurutnya beliau memang tidak bercadang menyertai politik dan lebih menumpu kepada usaha menyebarkan pemikiran Islam yang dianggap luas kerana Islam adalah agama untuk semua.

"Tapi jika semua pintu tertutup dan saya tidak boleh bercakap melainkan boleh bercakap dalam pentas politik, terpaksa berfikir lain. Saya harap ini tidak akan berlakulah," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini semalam.

Mohd Asri ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor baru-baru ini kerana didakwa berceramah tanpa tauliah di negeri itu.

Beliau kemudian dihadapkan ke Mahkamah Syariah tetapi tidak ada pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Sambil menafikan pertemuannya dengan Nik Aziz sebagai usaha ke arah mendekati politik, beliau berkata ia adalah sebagai tanda hormat kerana Nik Aziz sebelum ini turut memberi sokongan kepadanya dalam gerakan dakwah. BERNAMA

Artikel Lain