suria

SPRM tubuhkan pasukan khas siasat agensi dan jabatan kerajaan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan satu pasukan penyiasat khusus bagi menyiasat beberapa jabatan dan agensi kerajaan berdasarkan kepada laporan audit oleh Ketua Audit Negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed berkata siasatan menyeluruh perlu dibuat ke atas agensi dan jabatan berkenaan selepas SPRM mengesan beberapa elemen rasuah dalam laporan tersebut.

Beliau berkata identiti kesemua pihak terlibat sudah dikenal pasti, namun ia perlu dirahsiakan oleh SPRM sehingga proses siasatan selesai.

"Kami sudah kenal pasti (identiti mereka) tetapi untuk menjaga maklumat penting, ia akan dirahsiakan dan hanya akan didedahkan selepas proses siasatan selesai sepenuhnya," katanya dalam taklimat media di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Katanya SPRM mempunyai asas untuk menyiasat perkara itu.

Abu Kassim berkata, langkah untuk merahsiakan proses siasatan SPRM adalah perlu bagi melindungi saksi dan maklumat yang diterima agar tidak menjejaskan keseluruhan proses siasatan.

"Salah satu faktor kejayaan SPRM dalam menangani pelbagai kes rasuah sebelum ini ialah kerana adanya unsurunsur 'kejutan' dalam proses. Kami tidak mahu identiti pihak yang terlibat terdedah, dan tidak mahu perkara seperti saksi memberikan keterangan bercanggah berlaku.

"Jika ini berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan proses siasatan, malah SPRM juga terpaksa mendakwa saksi berkenaan kerana memberikan keterangan palsu," katanya.

Sementara itu Abu Kassim berkata SPRM menyiasat 47 ahli politik yang terdiri daripada 36 anggota Barisan Nasional (BN) dan 17 anggota dari Pakatan Rakyat dari bulan Januari hingga 30 September lepas.

"Dari jumlah itu, lapan orang sudah dituduh atas kesalahan rasuah dan kesemua mereka merupakan anggota BN," katanya.

Selain lapan ahli politik berkenaan, turut dituduh di mahkamah ialah 64 kakitangan sektor awam termasuk seorang pegawai dari peringkat pengurusan tertinggi dan 56 kakitangan swasta.

Artikel Sebelum

Artikel Lain