suria

Keputusan permohonan Herald berhubung perkataan "Allah"

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 10 Nov untuk memutuskan sama ada untuk mengenepikan atau mengekalkan perintah yang dikeluarkannya sebelum ini yang membenarkan lapan pihak untuk mencelah berhubung penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan majalah The Herald.

Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak yang berkenaan berhubung permohonan Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur untuk mengenepikan perintah mahkamah itu.

Peguam S.Selvarajah, yang mewakili gereja itu, memberitahu pemberita yang geraja itu telah mengemukakan hujah di mahkamah berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Sept dalam kes Majlis Agama Islam Selangor lwn Bong Boon Chuen & 150 yang lain, iaitu Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan pencelahan dalam prosiding semakan kehakiman mengikut Perintah 15, Peraturan 6(2)(b) Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980.

Dalam membantah permohonan itu, seorang daripada peguam yang mewakili pencelah berkenaan, Abdul Rahim Sinwah, berhujah bahawa lapan pihak itu mempunyai kepentingan daripada segi undang-undang untuk menjadi pencelah dalam prosiding semakan kehakiman itu.

Pada 3 Ogos, mahkamah membenarkan lapan pihak itu, termasuk majlis-majlis agama Islam negeri menjadi pencelah dalam permohonan baru yang dikemukakan Ketua Paderi Tan Sri Murphy Pakiam bagi semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan gereja itu.

Dalam keputusannya, Hakim Lau memutuskan lapan pihak berkenaan, Majlis Agama Islam Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka, dan Persatuan Cina Muslim Malaysia mempunyai kepentingan daripada segi undang-undang dalam isu itu.

Pada 16 Feb, Pakiam, selaku penerbit The Herald, memfailkan permohonan baru bagi semakan kehakiman selepas permohonan serupa pada 2008 dianggap sebagai akademik berikutan permit penerbitan The Herald bagi 1 Jan hingga 31 Dis, 2008 telah tamat tempoh.

Dalam permohonan itu, beliau yang menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, memohon antara lain, mengisytiharkan keputusan oleh para responden pada 7 Jan, 2009, melarangnya menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan "Herald The Catholic Weekly" adalah salah di sisi undang-undang dan bahawa perkataan "Allah" bukan hanya eksklusif untuk agama Islam sahaja. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain