suria

Polis berkas lelaki perdaya 26 peminjam bank

KULIM: Polis telah memberkas seorang lelaki yang dipercayai menipu 26 orang kebanyakannya peniaga kecil dan mengutip RM52,000 daripada mereka dengan memperdaya mereka kononnya dia dapat mempercepatkan permohonan pinjaman bank.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kedah Supt Rosnee Abdul Hamid berkata suspek berumur 25 tahun itu adalah bekas seorang kakitangan bank di Sungai Petani diberkas di satu kawasan perumahan di sini pada Isnin lepas ketika dia sedang menunggu seorang mangsa untuk mengambil "wang proses".

"Suspek yang mengaku dirinya sebagai seorang agen yang boleh memproses permohonan pinjaman daripada sebuah bank komersial di sini dalam kadar segera dipercayai mengenakan bayaran proses antara RM1,200 dan RM3,000 bergantung kepada jumlah pinjaman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rosnee berkata tujuh daripada mangsa penipuan itu telah membaut laporan kepada polis.

"Kami berharap mereka yang merasa diri mereka tertipu akibat kegiatan suspek supaya segera membuat laporan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain