suria

Liwat budak lelaki: Hukuman terhadap bekas anggota TUDM kekal

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan terhadap seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana meliwat budak lelaki berumur 10 tahun sebanyak dua kali 10 tahun lepas.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu setelah menolak rayuan Zaimy Ahmad, 41, yang merupakan bekas penjaga stor Kem TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Beliau turut menolak permohonan peguam bela tertuduh, Ramzani Idris untuk penangguhan pelaksanaan hukuman dan memerintahkan Zaimy, yang berada dalam jaminan, untuk menjalani hukuman bermula hari ini.

Pada 28 Feb 2007, Hakim Mahkamah Sesyen di sini Datuk Mariana Yahya menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Zaimy yang didapati bersalah meliwat budak lelaki itu di bilik 4/9, Tingkat 4, Blok Merlin A, Berek Bujang TUDM Subang di sini pada 8 malam 28 Okt 1999.

Mariana juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan terhadap Zaimy yang didapati bersalah terhadap satu lagi tuduhan meliwat mangsa yang sama, pada 9 pagi 30 Okt 1999 di tempat yang sama.

Hukuman bagi kedua-dua kesalahan itu diarahkan berjalan serentak berkuatkuasa pada hari hukuman dijatuhkan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dan menaikkan wang jaminan daripada RM5,000 kepada RM10,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain