suria

Penamaan calon DUN Bagan Pinang pagi ini

PORT DICKSON: Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan diadakan pagi ini dijangka akan menyaksikan pertandingan sengit dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Perkara tersebut berdasarkan pengesahan yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam bahawa kedua-dua parti berkenaan telahpun membeli borang sejak kerusi DUN Bagan Pinang diumumkan kosong.

Bagaimanapun jangkaan BN dan PAS bakal bersaing bersama-sama seorang calon bebas masih belum dapat dipastikan.

Ini berikutan kesahihan borang pencalonan bekas Ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Telok Kemang, Shahruddin Abd Hamid yang menawarkan diri untuk bertanding atas tiket calon bebas di DUN Bagan Pinang masih diragui.

Tambahan pula SPR mengesahkan sehingga petang semalam lapan borang pencalonan yang telah dibeli hanya untuk BN dan PAS iaitu masing-masing membeli lima dan tiga borang.

Tiada sebarang rekod menunjukkan borang pencalonan telah dibeli oleh calon bebas.

Bagaimanapun, Shahruddin ketika dihubungi pagi tadi berkata, beliau telah bersedia untuk menghadiri proses penamaan calon pagi ini.

"Saya sudah bersedia dengan borang yang telah pun lengkap diisi dan juga wang deposit. Insya-Alllah, semuanya dah sedia," katanya.

Bagi pilihan raya kecil kali ini iaitu yang kesembilan selepas pilihan raya umum 2008, BN meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Beliau juga merupakan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

Manakala PAS menurunkan Pesuruhjaya Negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Proses penamaan calon akan di adakan di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson dekat sini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR). Satu lagi kerusi iaitu DUN Linggi dimenangi BN.

Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penyokong BN akan berkumpul di Pejabat Daerah Port Dickson untuk mengiringi calon ke tempat penamaan calon manakala penyokong PAS akan berhimpun di stesen Minyak Esso berhampiran dewan itu.

Hanya 100 orang penyokong setiap parti yang bertanding dibenarakan memasuki khemah khas yang disediakan di perkarangan dewan berkenaan.

Sesi penamaan calon akan dibuka pada pukul 9 pagi, ia berlangsung selama sejam dan diikuti sesi bantahan, juga selama sejam.

Artikel Lain