suria

Lelaki disyaki curi kereta ditahan di Bangsar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki mencuri kereta di sebuah hotel dan terlibat dalam kes wang palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Maarof, Bangsar, di sini semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu yang ditahan pada pukul 9.15 malam tadi disyaki terlibat dalam kecurian dua kereta Honda Civic pada Ahad lepas, iaitu sebuah di sebuah hotel di Jalan Tun Sambathan pada sebelah pagi manakala sebuah lagi di Taman Tun Dr Ismail pada sebelah petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata serbuan ke rumah berkenaan dibuat hasil penahanan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di hotel terbabit petang semalam.

"Pengawal keselamatan yang berusia 30 tahun itu telah membawa polis ke rumah berkenaan dan kami menjumpai dua buah kereta curi jenis Honda Civic itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai peralatan mencuri kereta termasuk alat mematikan sistem penggera kenderaan, sebilah parang, sebuah komputer riba dan pemain DVD.

Siasatan awal polis, mendapati lelaki itu pernah ditahan bagi membantu siasatan kes wang palsu. Kes itu sehingga kini masih dalam siasatan.

Sementara itu, Wan Abdul Bari berkata polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 700 gram bernilai RM160,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Berhala, Ahad lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain