suria

Lelaki Nigeria rugi RM75,000 dirompak

KUCHING: Seorang lelaki warga Nigeria kerugian RM75,000 selepas wang tunainya dirompak oleh sekumpulan lelaki di Pusat Komersial Travilion, Jalan Padungan di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian 1.35 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun berkenaan yang merupakan seorang pengarah di sebuah syarikat swasta di sini turut dibelasah oleh kumpulan lelaki yang tidak dikenali itu manakala cermin kereta jenis Honda milik syarikatnya turut dipecahkan dalam kejadian di salah satu kawasan yang padat dengan pusat hiburan di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Wong Wai Loong berkata mangsa yang berseorangan mendakwa dibelasah kumpulan lelaki yang terdiri daripada tujuh hingga lapan orang dan bersenjatakan parang, ketika mangsa dalam perjalanan mengambil keretanya di tempat letak kereta.

"Mangsa mendakwa dirinya ditumbuk manakala cermin kereta dipecahkan sebelum begnya yang mengandungi wang tunai berjumlah RM75,000 yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang dilarikan kumpulan lelaki tersebut," katanya di sini hari ini.

Difahamkan mangsa yang berkahwin dengan wanita tempatan, menjalankan perniagaan menjual mesin dan mahu menggunakan wang tunai tersebut untuk membeli mesin baru.

Wong berkata mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah melarikan diri dari tempat kejadian dan meminta bantuan di Balai Polis Padungan.

"Polis sedang mengambil keterangan daripada mangsa dan saksi. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain