suria

MSD Jakarta ingatkan pelajar Malaysia hindari tempat awam masa hari raya

PETALING JAYA: Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Jakarta telah menasihati para pelajar Malaysia yang tidak pulang ke tanah air untuk berhari raya supaya menghindari tempat tumpuan orang-ramai semasa perayaan Aidil Fitri nanti.

Pengarahnya, Dr Junaidy Abu Bakar berkata, nasihat itu dikeluarkan sebagai satu langkah berjaga-jaga sejak insiden sentimen anti-Malaysia menjadi isu yang dibesar-besarkan oleh kebanyakan media elektronik Indonesia.

Terdapat lebih 5,900 pelajar Malaysia sedang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi Indonesia buat masa ini.

“Tetapi sukalah saya nyatakan di sini dan juga untuk makluman semua ibu-bapa dan keluarga para pelajar Malaysia, keadaan sekarang agak tenang. Media massa pun banyak beri tumpuan kepada balik kampung. Biasanya di Jakarta 23 juta orang akan balik beraya di kampung halaman dan begitu juga dengan pelajar-pelajar kita di sini.

”Namun ada ramai juga yang tidak balik. Mereka akan beraya di sini bersama-sama Duta dan pegawai kedutaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online tengah hari Rabu.

Menurut Dr Junaidy, sepertimana masa-masa yang lalu, sembahyang raya telah disenaraikan sebagai acara kedutaan.

Katanya, sebahagian besar penuntut Malaysia di Jakarta dan kawasan yang berdekatan akan datang bersembahyang raya dan berhari raya di kediaman Duta Malaysia dan juga rumah pegawai-pegawai kedutaan.

“Sementara bagi pelajar kita di luar Jakarta, mereka adakan sambutan raya di mes pelajar masing-masing. Dan di beberapa tempat mereka sambut raya selepas cuti dan akan dihadiri oleh saya sendiri,” kata Dr Junaidy.

Beliau berkata, pihak kedutaan, konsul-general Malaysia dan juga MSD sentiasa memantau keadaan pelajar-pelajar Malaysia di seluruh Indonesia walaupun jarak antara mereka agak berjauhan.

Ibu-bapa katanya, tidak perlu bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka di Indonesia kerana persatuan mahasiswa kedua-dua buah negara telah pun membentuk satu badan baru yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Indonesia-Malaysia (IMSA) pada 11 September baru-baru ini untuk membantu meredakan suasana tegang tersebut.

Beliau juga berkata, semua pelajar Malaysia di Indonesia tahu siapa yang mereka perlu hubungi sekiranya mereka menghadapi masalah ekoran daripada sentimen anti-Malaysia itu.

Pagi esok Menteri Luar Malaysia, Datuk Anifah Aman dijadualkan untuk bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia Hassan Wirajuda di Jakarta untuk membincangkan isu anti-Malaysia ini. Beliau juga dijadualkan untuk bertemu dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Presiden.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain