suria

DNA sahkan Noordin bukan antara ditembak mati polis Indonesia

PETALING JAYA: Ujian DNA telah mengesahkan suspek pengganas yang terbunuh dalam serbuan polis Indonesia hampir 18 jam di Jawa Tengah pada Jumaat lalu, bukan merupakan Noordin Mohammad Top, yang diburu sejak 2002.

The Star yang memetik sumber-sumber polis Malaysia berkata, rakyat tempatan dari Johor itu bukan antara yang terbunuh dalam tindakan polis Indonesia yang berakhir Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Pihak polis Indonesia sehingga kini belum dapat mengesahkan Noordin sebagai antara yang terbunuh.

Sabtu lepas polis Indonesia menembak mati seorang lelaki yang sehingga kini masih belum dapat dipastikan sekiranya dia adalah Noordin, lelaki paling dikehendaki di Indonesia kerana dikatakan menjadi dalang dan pakar bom yang disyaki terbabit dalam kejadian pengeboman Hotel J.W.Marriott dan Ritz Carlton di sini pada 17 Julai lepas.

Laporan Bernama semalam menyebut, keluarga Noordin yang berada di Johor tidak yakin lelaki yang mati ditembak polis Indonesia di sebuah rumah di Temanggung, Jawa Tengah pada 8 Ogos adalah Noordin, lelaki paling dikehendaki di Indonesia.

Setelah melihat foto yang disebar oleh pihak berkuasa, keluarga Noordin bertambah yakin bahawa lelaki yang mati ditembak selepas 17 jam dikepung itu bukan Noordin.

"Menurut keterangan dari keluarga, mereka yakin yang ia bukan gambar Noordin," kata Badarudin Ismail, lelaki yang dipetik oleh laman web detik.com sebagai jurucakap keluarga Noordin.

Isteri Noordin, yang hanya dikenali sebagai Rahmah berkata, dia yakin lelaki yang ditembak itu bukan suaminya kerana struktur wajahnya berbeza sama sekali dengan Noordin.

Laporan AFP pula menyebut, Noordin masih bebas walaupun pihak berkuasa Indonesia sebelum ini menyebut dia telah ditembak mati dalam serbuan polis kira-kira 18 jam Jumaat lalu.

Analisis cap jari mengesahkan seorang lelaki yang terbunuh dalam serangan pasukan khas ke atas sebuah rumah di kawasan sawah padi di Jawa Tengah bukan Noordin, kata seorang sumber.

"Itu bukan dia. Kami tahu struktur wajah dan juga cap jarinya," kata sumber itu lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain