suria

Khaled: KPT rangka kod etika guna gelaran Profesor, Doktor

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan merangka model hubungan yang lebih sinergik dan konkrit antara institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri berasaskan konsep ‘menang-menang’.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal ini bertujuan menyatukan ketegaran akademik dan industri berkaitan khasnya dalam menangani masalah kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran.

"Dalam hal ini, model ‘Knowledge Transfer Partnerships’ dari Eropah boleh dijadikan asas untuk menentukan halatuju hubungan industri-akademia di Malaysia," katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2008 di sini, semalam.

Sasterawan Negara, Profesor Dr Muhammad Salleh dari Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2008.

Sementara itu, anugerah-anugerah lain yang disampaikan adalah Anugerah Penerbitan Buku dimenangi Dr Jelani Harun; Inovasi dan Pengkomersilan Produk, Prof Dr Sureswaran Ramadass; Seni dan Kreativiti, Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan.

Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan, Prof Madya Dr. Zainal Ariffin Ahmad dan Kelompok Sains Gunaan Prof Dr Abd Karim Alias.

Mohamed Khaled berkata, KPT akan menggariskan panduan etika penggunaan gelaran Profesor dan Doktor bagi memelihara imej serta mengelakkan penggunaan gelaran kesarjanaan itu disalah guna oleh pihak-pihak tertentu.

"Pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) sedang mengkaji dan membentuk kriteria minimum untuk kenaikan pangkat ke jawatan Profesor agar ia memenuhi kriteria sebenar ahli akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.

"KPT akan memobilisasikan ahli akademik dengan cara menginstitusikan badan-badan akademik seperti Majlis Profesor Negara, Majlis Dekan Program Pengajian, Majlis Persatuan Pegawai Akademik Malaysia, selain daripada badan sedia ada seperti Majlis Naib Canselor dan Majlis Timbalan-Timbalan Naib Canselor," katanya.

Mohamed Khaled berkata, selain pengiktirafan graduan yang berkualiti, IPT juga berperanan untuk menghasilkan penemuan-penemuan baru, penerokaan idea dan ilmu serta penyelidikan dan inovasi yang terkini yang seterusnya dapat dikomersialkan untuk faedah masyarakat dan negara.

Katanya, mengikut rekod JPT, sehingga Jun 2009, terdapat 12,523 hasil penyelidikan telah dilaksanakan, 453 berjaya dikomersialkan di luar negara khasnya di Timur Tengah, negara-negara Asia dan Amerika Syarikat manakala 313 lagi berpotensi untuk dikomersialkan.

"Pencapaian pengkomersilan hasil penyelidikan negara ini masih rendah di mana sasaran pada tahun 2010 adalah sebanyak 5 peratus dan sasaran pada tahun 2020 sebanyak 10 peratus.

"Justeru, dengan terdapatnya Kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, diharap akan dapat menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi serta pengkomersialannya," katanya.

Beliau berharap, lebih banyak IPTS akan mengambil bahagian dalam Anugerah Akademik Negara pada masa akan datang selaras dengan usaha KPT untuk melenyapkan gelaran IPTA/IPTS sebaliknya hanya dikenali sebagai IPT Malaysia.

"IPTS diharap akan berdiri sama tinggi dengan IPTA di dalam negara dalam aspek kualiti program, kegiatan penyelidikan, penerbitan dan lain-lain.

"Konsep ‘cross assignment’ di mana kepakaran ahli akademik IPTA boleh digunakan untuk menjadi pengurus dan membantu ‘levelling up process’ bagi IPTS mencapai kualiti setanding dengan IPTA," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kementeriannya akan meraikan penemuan baru hasil penyelidikan dalam Perhimpunan Bulanan KPT dari masa ke semasa untuk menyemarakkan aktiviti R & D di kalangan para ahli akademik, seterusnya menjadikan mereka lebih bermotivasi dalam penghasilan produk penyelidikan yang bermutu tinggi," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain