suria

MIC: Penamaan calon 22 Ogos, pemilihan 12 September

PUTRAJAYA: Jawatankuasa pemilihan MIC menetapkan 22 Ogos sebagai hari penamaan calon dan tarikh pemilihan parti ialah pada 12 September ini.

Pengerusi jawatankuasa tersebut Datuk K. Vijayanathan ketika pengumumkan tarikh itu berkata tempoh berkempen ialah selama tiga minggu untuk memberikan masa yang panjang bagi calon-calon yang bertanding berkempen.

Pemilihan MIC kebangsaan akan memilih seorang timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Pemilihan pada Mac lepas menyaksikan presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu menang tanpa bertanding untuk mengekalkan jawatan itu dengan mencatat rekod selama 11 penggal berturut-turut.

Timbalan presiden MIC dijangka menghadapi pertandingan sengit antara penyandang Datuk G. Palanivel yang akan dicabar oleh bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam dan naib presiden Datuk S. Sothinathan.

Palanivel ialah calon pilihan presiden sementara Subramaniam dan Sothinathan masing-masing mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding menjadikan pertandingan itu, tiga penjuru.

Bagi tiga jawatan naib presiden, Samy Vellu menamakan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam yang juga Setiausaha agung MIC, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan (Ketua Penerangan) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany (Bendahari agung), sebagai calon-calon pilihan beliau.

Ketiga-tiga mereka dijangka menghadapi tentangan daripada Datuk S.K. Bala dari Johor, V. Ragu Moorthy dari Selangor dan P. Subramaniam dari Selangor, yang kesemuanya adalah ahli perniagaan. Lebih ramai pemimpin parti dijangka menyuarakan hasrat mereka untuk bertanding dalam masa akan datang.

Samy Vellu bagaimanapun belum lagi mengumumkan senarai 23 calon pilihan beliau untuk menduduki CWC tetapi banyak spekulasi menyebut bahawa lebih 80 calon akan bertanding bagi mengisi jawatan tersebut.

Sementara itu Vijayanathan juga mengumumkan bahawa sayap Pemuda dan Wanita akan mengadakan penamaan calon pada Sabtu ini sementara pemilihan ditetapkan 16 Ogos.

"Kita telah mengadakan pemilihan untuk Pemuda dan Wanita lebih awal kerana mereka akan memilih 45 perwakilan bagi setiap sayap ke perhimpunan agung bulan depan.

"Perwakilan daripada kedua-dua sayap ini akan mengundi untuk memilih pemimpin-pemimpin kebangsaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau juga mengingatkan calon-calon bagi memastikan borang-borang pencalonan diisi dengan sempurna bagi mengelakkan ditolak pada saat-saat akhir.

"Kita juga menasihatkan calon-calon agar mematuhi peraturan pemilihan parti dan mengelakkan daripada kelayakan mereka gugur untuk bertanding semasa tempoh berkempen," tambah beliau. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain