suria

Himpunan ISA: Pakatan selar tuduhan ke atas 29 ditahan

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menyelar pertuduhan menyertai perhimpunan haram berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikenakan terhadap 29 orang termasuk seorang remaja berusia 16 tahun di Mahkamah Sesyen semalam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pakatan mendakwa tindakan itu jelas berniat untuk memberi amaran kepada peserta perhimpunan dan cubaan mengugut supaya perhimpunan seumpama itu tidak diadakan lagi.

"Pakatan Rakyat menyelar tindakan ganas yang dilakukan termasuk keganasan fizikal, gas pemedih mata dan kimia kepada orang ramai termasuk wanita dan remaja.

"Tindakan yang memalukan ini mencerminkan keburukan kerajaan dan merosakkan imej Malaysia di mata dunia.

"Ini menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia yang Umno dan Barisan Nasional tidak menghormati hak asasi dan hak untuk berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa; Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat PAS, Dr. Hatta Ramli dan AJK Pusat DAP, Tony Pua.

Sivarasa merupakan antara yang ditahan ketika perhimpunan haram itu.

Sabtu lalu, kira-kira 10,000 penyokong Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengadakan perhimpunan dan berarak secara haram untuk menghantar memorandum memansuhkan ISA kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan itu, polis menahan 589 individu termasuk beberapa pemimpin Pakatan namun 572 daripadanya telah dibebaskan kelmarin.

Semalam, mahkamah membebaskan Sivarasa dengan jaminan polis sementara 29 orang didakwa kerana menyertai perhimpunan tanpa permit itu.

Pakatan turut menafikan perhimpunan itu menyebabkan kerugian sehingga ratusan juta ringgit kepada peniaga di kawasan yang terlibat dan mengatakan ia hanyalah satu perkara yang sengaja diperbesarkan.

Menurut Pakatan, jika pihak polis diarah supaya membenarkan perhimpunan itu dijalankan, ia akan berlangsung secara aman dan sebahagian peniaga sebaliknya akan mendapat keuntungan.

"Adalah sesuatu yang mudah untuk polis bekerjasama dengan penganjur perhimpunan bagi memastikan hak berhimpun secara aman dilindungi dan memastikan gangguan trafik dan pergerakan orang ramai berada pada tahap minimum," kata kenyataan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain