suria

Kematian Teoh: DAP akan ambil tindakan undang-undang terhadap SPRM

ALOR GAJAH: DAP akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berhubung kematian setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata SPRM perlu bertanggungjawab terhadap kematian Teoh dan tidak boleh mengeluarkan kenyataan bahawa ketika ditemui mati, Teoh tidak lagi berada dalam pengawasan SPRM.

Beliau berkata pejabat SPRM adalah sebuah bangunan keselamatan yang dikawal dan tidak boleh untuk melakukan urusan masuk dan keluar ke pejabat itu sesuka hati.

"Hanya pegawai SPRM yang mempunyai akses menerusi kad mereka untuk masuk dan keluar pintu pejabat berkenaan.

"SPRM mempunyai tanggungjawab keselamatan (terhadap Teoh) dan tidak boleh dinafikan Teoh ditemui dalam kawasan bangunan SPRM," katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada keluarga Teoh di Taman Seri Kelemak di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang menyatakan Teoh sewaktu ditemui mati tidak lagi berada dalam pengawasan SPRM dan atas sebab itu kematian Teoh tidak harus dipersalahkan kepada SPRM.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mempersoalkan katiadaan CCTV di pejabat SPRM atas alasan ketiadaan wang.

Mayat Teoh ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada Khamis lepas dipercayai akibat terjatuh dari bangunan yang turut menempatkan pejabat SPRM selangor.

Teoh adalah seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan bagi Exco kerajaan negeri Selangor. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain