suria

Keselamatan di pintu masuk negara boleh ditingkatkan, kata Murugiah

KOTA BAHARU: Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan akan melakukan lawatan mengejut bagi mengkaji dan menilai kelemahan sistem pengurusan kemasukan pelancong dan kawalan import di semua pintu masuk negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah berkata lawatan berkala seperti itu adalah bertujuan meningkatkan keberkesanan jaringan keselamatan bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah termasuk penyeludupan manusia dan senjata api ke negara ini.

Katanya semua langkah yang sedia ada di pintu masuk negara sudah memadai buat masa ini dan pemantauan melalui lawatan berkala oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan dapat mengatasi sebarang kelemahan dari segi pelaksanaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai dan petugas Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK) Cawangan Negeri Kelantan di sini semalam.

Sebelum itu, Murugiah mendengar taklimat mengenai keselamatan pejabat kerajaan persekutuan di Kelantan di samping keselamatan pintu masuk negara di Rantau Panjang, Pengkalan Kubur dan Bukit Bunga di negeri itu.

Taklimat disampaikan oleh Pengarah KPKK Kelantan Ibrahim Daud.

Murugiah berkata mesin pengimbas teknologi canggih yang tidak dapat digunakan di pintu masuk negara kerana masalah teknikal akan diganti supaya pemeriksaan rapi dapat dijalankan secara berterusan. BERNAMA

Artikel Lain