suria

Pejabat Daerah Pendang tolak cadangan pembinaan tapak penyembelihan babi

PENDANG: Pejabat Daerah Pendang menolak cadangan pembinaan tapak penyembelihan babi di Kampung Cina di sini kerana didapati tidak sesuai dan mendapat bantahan penduduk.

Pegawai Daerah Pendang, Abdul Shukor Abdul Ghani berkata keputusan itu dibuat selepas kajian dilakukan oleh jabatan terlibat yang melawat kampung itu baru-baru ini.

"Hasilnya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebulat suara mendapati lokasi itu tidak sesuai kerana dekat rumah penduduk dan akan mencemarkan kawasan berkenaan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima meorandum bantahan daripada Pengerusi Belia 4B daerah Pendang Ramli Abu Bakar, Abdul Shukor berkata pembinaan tapak penyembelihan dalam jarak 100 meter dari rumah penduduk juga tidak memenuhi syarat zon penampan sepanjang 500 meter yang disyaratkan JAS.

Selain itu, pemilik tanah yang bersetuju menyewakan tanah mereka bagi pembinaan premis juga telah pun menarik balik persetujuan itu kerana mengambil kira kepentingan penduduk.

Sebelum itu, lebih 100 penduduk Kampung China berarak dari Bangunan Umno Pendang menuju Pejabat Daerah Pendang bagi membantah pembinaan tapak penyembelihan babi di kampung mereka.

Seorang penduduk, Edin Chok Edin Proot, 52, berkata bantahan dibuat disebabkan tapak penyembelihan itu terletak berdekatan dengan Watt Siam tempat penduduk kaum Siam beribadat.

Katanya sekiranya tempat penyembelihan babi dibina di kampung mereka, lebih 800 penduduk akan berhadapan kesan pencemaran yang teruk dan menjejaskan kehidupan mereka.

"Kami menolak cadangan pembinaan di kawasan ini dan berharap kerajaan negeri mempertimbangkan semula serta mencari kawasan lain," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain