suria

H1N1: Kontak dikuarantin tiada simptom jangkitan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mendapati 875 orang kontak, yang menjalani kuarantin di rumah, tidak mempunyai simptom menghidapi wabak Influenza A(H1N1).

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican meminta mereka supaya terus berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam atau menghadiri kelas tuisyen atau kelas agama.

Mereka juga diminta mengamalkan 10 langkah bijak semasa tempoh kuarantin selama tujuh hari, katanya.

"Sekiranya mengalami gejala demam dan tanda-tanda seperti batuk, sakit tekak dan selesema, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sekolah Kebangsaan Setapak Indah di sini dan Seri Cempaka International School di Cheras masing-masing menutup satu kelas sehingga 9 Julai.

Dalam pada itu, Dr. Mohd Ismail meminta supaya mereka yang telah mengambil 'throat swab' iaitu ujian jangkitan H1N1 di hospital kerajaan atau pintu masuk, menghubungi hospital berkenaan bagi mengetahui status keputusan ujian makmal itu.

"Keputusan ujian selalunya akan diketahui dalam masa 24 jam selepas sampel 'throat swab' diambil," katanya.

Menurutnya pelajar Malaysia dan mereka yang baru kembali bercuti dari luar negara yang terjejas dengan wabak berkenaan, diminta untuk membuat pemantauan kendiri.

Bagi mereka yang mula merasa kurang sihat atau ada tanda awal jangkitan seperti batuk dan demam, diminta segera mendapatkan rawatan daripada doktor berdekatan dan mengurangkan pergaulan dengan rakan lain termasuk mengelakkan diri daripada menghadiri kelas dan bekerja di pejabat.

Mengenai situasi semasa Influenza A(H1N1) dalam negara, Dr. Mohd Ismail berkata sehingga 8 pagi ini, terdapat 33 kes baru dilaporkan terdiri daripada 21 kes import dan 12 kes jangkitan tempatan.

Ini menjadikan jumlah terkumpul kes H1N1 setakat ini ialah 359 kes terdiri daripada 292 kes import dan 67 kes jangkitan tempatan.

"Daripada 359 jumlah pesakit influenza A(H1N1), sejumlah 257 (72 peratus), sebenarnya telah sembuh dan discaj daripada hospital. Baki pesakit yang sedang dirawat di hospital adalah berjumlah 102 orang," katanya.

Menurut Dr. Mohd Ismail, kes baru itu melibatkan 24 warganegara Malaysia, sembilan warga asing iaitu Indonesia (empat), Kuwait (dua) manakala Amerika, India dan Thailand masingmasing satu kes.

Daripada 21 kes import, mereka yang terlibat memberikan sejarah melawat negara terjejas dengan wabak H1N1 iaitu Thailand (sembilan), Australia (tiga), Kuwait (dua), Indonesia (tiga), United Kingdom (satu) dan Filipina (tiga).

Merujuk kepada situasi global, Dr. Mohd Ismail berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes H1N1 adalah 91,065 kes dengan 387 kematian melibatkan 126 negara iaitu pertambahan 847 kes dan empat kematian.

Lima negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah Australia (686), China (44), Malaysia (35), Singapura (34), New Zealand (33) dan Jepun (15). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain