suria

Rakan mangsa pertama H1N1 Johor dikesan dan dikuarantin

NUSAJAYA: Rakan kepada mangsa pertama yang disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1) di negeri ini telah dikesan dan dikuarantin di rumahnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai.

Pelajar perempuan berusia 19 tahun itu yang duduk bersebelahan dengan mangsa pertama terbabit di dalam pesawat SQ238 dikuarantin bersama-sama keluarganya di rumah mereka di sini.

"Kami berjaya menemui rakannya itu pada petang semalam setelah dimaklumkan oleh mangsa dan keadaan dia dan keluarganya sihat," katanya di Kota Iskandar di sini hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri dalam kenyataan semalam melaporkan seorang pelajar perempuan warga tempatan berusia 19 tahun yang baru pulang dari Melbourne, Australia disahkan dijangkiti virus H1N1.

Beliau yang menuntut di negara itu pulang bercuti dengan menaiki pesawat SQ0238 yang mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada pada pukul 5 petang 20 Jun yang lalu, sebelum menaiki teksi pulang ke rumahnya.

Pelajar itu mula mengalami demam dan sakit tekak pada 22 Jun lalu menyebabkan bapanya menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Aminah pada malam hari yang sama dan dimasukkan ke wad isolasi hospital itu.

Bapa, ibu, adik mangsa dan pemandu teksi yang membawanya turut diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Robia berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberikan bantuan kewangan kepada pemandu teksi itu memandangkan dia kehilangan punca pendapatan akibat perlu dikuarantin di rumahnya.

Beliau berkata, tempoh kuarantin keluarga mangsa dan pemandu teksi itu akan berakhir pada 29 Jun ini.

Sementara itu, katanya, sehingga kini, sebanyak 73 orang telah dikuarantin di hospital di negeri ini dan 29 orang telah dikuarantin di rumah selepas disyaki dijangkiti virus wabak tersebut. BERNAMA

Artikel Lain