suria

Najib prihatin dengan penularan H1N1 dan penutupan sekolah

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau prihatin dengan penularan Influenza A (H1N1) dan penutupan dua buah sekolah di Lembah Klang selepas dua pelajarnya didapati positif dengan wabak itu.

"Saya sebenarnya amat prihatin, saya benarbenar prihatin dan berharap segala langkah yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan membawa hasil.

"Saya harap semua pihak dapat beri kerjasama kerana langkahlangkah ini adalah untuk mencegah penyakit ini daripada terus merebak dan penyakit ini amat mudah merebak kerana ia adalah satu jenis penyebaran yang boleh berlaku dengan cara mengejut dan kita mesti ikut apa-apa yang telah dinasihati untuk mengelakkan perkara ini menjadi lebih buruk lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada mesyuarat ketujuh Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di luar negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan sebuah kelas di Sekolah Menengah Wangsa Maju, Kuala Lumpur diarah ditutup selama seminggu selepas dikesan membabitkan jangkitan tempatan.

Hari ini, kementerian itu mengumumkan penutupan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 di Petaling Jaya selepas seorang pelajarnya didapati positif Influenza A (H1N1).

Kementerian itu juga telah meminta Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Batu 9 Cheras, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam dan Sekolah Menengah Damansara Utama di Petaling Jaya untuk menutup satu kelas.

Penutupan satu sekolah dan empat kelas dalam tempoh seminggu adalah sejajar dengan langkah yang ditetapkan Jawatankuasa Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak Selesema Babi (Influenza a (H1N1).

Dalam perkembangan lain, Najib berkata walaupun terdapat masalah kecil dalam mengeluarkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi Menteri dan kementerian, kerajaan berada dalam landasannya bagi menilai semua menteri dan kementerian menjelang November tahun ini.

"Semuanya mengikut rancangan dan penilaian keseluruhan bagi menteri dan kementerian akan dilaksanakan pada November. Kami akan mengadakan bengkel awal Julai. Kami masih mengikut landasan bagi menjalani proses konsultasi dengan pelbagai menteri dan kementerian," katanya.

Katanya KPI merupakan satu bentuk ukuran prestasi dan oleh itu ia merupakan satu usaha yang baik untuk negara ini.

"Ini bermakna kita akan meningkatkan prestasi kita disamping untuk mencapai kemajuan dalam sesuatu bidang yang mana kita mahu menunjukkan berhasilannya terutama yang berkaitan dengan kepentingan rakyat. Walaupun mungkin terdapat akibat langsung daripada KPI itu tetapi semua menteri faham bahawa mereka perlu menunjukkan kemampuan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain