suria

Raja Permaisuri Agong lancar jualan lukisan amal

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah hari ini berkenan melancarkan jualan amal koleksi lukisan Kobena Anugerah 2009 yang bertujuan mengumpul dana untuk membantu ibu tunggal.

Hasil jualan amal lukisan itu, yang dianjur Koperasi Belia Nasional Belia Nasional Bhd (Kobena) dan Anugerah Art Gallery Sdn Bhd akan disumbangkan kepada Majlis Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia, kata setiausaha Kobena Datuk Mior Abd Aziz Othman.

Beliau berkata sebahagian besar koleksi lukisan hasil ciptaan pelukis tempatan dan luar negara itu akan dijual dengan harga RM500 hingga RM150,000 setiap satu.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran jualan amal itu di sini hari ini, beliau berkata koleksi lukisan itu akan dipamerkan di Anugerah Gallery di No.10, Jalan Watan 1, Taman Sri Watan, Ampang.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas Anugerah Gallery Ferri Anugerah Makmur berkata keseluruhan karya lukisan yang dikumpulkan adalah daripada koleksi tetap galeri dan koleksi peribadi peminat lukisan tempatan. BERNAMA

Artikel Lain