suria

Keputusan ROS sahkan Kayveas Presiden PPP perlu dihormati - Muhyiddin

KENINGAU: Keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Datuk M Kayveas sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) perlu dihormati oleh semua pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita berpegang kepada keputusan ROS. Ini bukan soal politik tetapi soal undang-undang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan hari guru peringkat negeri Sabah di Dewan Datuk Lee Sen, SM Ken Hua di sini hari ini.

Semalam, ROS memaklumkan bahawa Kayveas masih Presiden PPP yang sah sehingga siasatan terhadap aduan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan dalam parti itu selesai.

Ketua Pengarah ROS Datuk Md Alias Kalil berkata ROS juga tiada halangan bagi PPP meneruskan Mesyuarat Agung Tahunan yang dijadualkan.

Pada 2 Jun lepas, Muhyiddin berkata laporan awal ROS berhubung kemelut PPP mendapati wujud kesangsian pada pihak yang berbalah iaitu Kayveas dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Murugiah sebelum ini dilantik sebagai presiden parti dalam mesyuarat agung luar biasa EGM pada 24 Mei lepas manakala Kayveas pula diumum kekal sebagai presiden PPP apabila menang tanpa bertanding pada pencalonan rasmi parti 30 Mei lepas.

Ditanya sama ada PPP perlu meneruskan mesyuarat agung tahunan memandangkan parti itu masih dalam siasatan ROS, Muhyiddin berkata: "Itu hak PPP untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti yang dirancang".

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna masalah dalam PPP sudah selesai," katanya. Muhyiddin berkata berikutan perkembangan terbaru itu, terdapat kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan mesyuarat agung tahunan parti itu yang djadualkan pada 7 Jun ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain