suria

Raja Petra sekali lagi dikenakan waran tangkap

KUALA LUMPUR: Penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin, sekali lagi dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas beliau tidak hadir untuk perbicaraan kes memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain.

Ini merupakan kali kedua waran tangkap dikenakan terhadap penulis blog itu selepas beliau gagal menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lalu, yang dikeluarkan oleh Hakim Rozina Ayob.

Hakim Muhammad Sekeri Mamat juga mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada isteri Raja Petra, Mable @ Marina Lee, selaku penjamin. Isterinya juga tidak hadir di mahkamah.

Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis mengemukakan permohonan berikutan kegagalan Raja Petra dan isterinya menghadirkan diri.

Perbicaraan kes beliau sepatutnya bermula pada hari ini selama tiga hari.

Raja Petra, 59, dituduh memfitnah Rosmah, semasa suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan Timbalan Perdana Menteri serta pegawai pengiring Rosmah ketika itu, Lt Kol Norhayati Hassan dan suaminya, Lt Kol Abdul Aziz Buyong, dalam satu akuan bersumpah yang dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 10.25 pagi 18 Jun tahun lepas.

Raja Petra, yang diwakili peguamnya Amarjeet Singh, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda jika disabit kesalahan.

Kes itu akan disebut semula pada 2 Julai. BERNAMA

Artikel Lain