suria

Penyeludup besar manusia dihadapkan ke mahkamah di Perth

MELBOURNE: Seorang lelaki dengan taraf warga negara Iraq dan Iran yang didakwa mengetuai operasi menyeludup manusia secara besar-besaran di Indonesia telah diekstradisi ke Australia untuk menghadapi tuduhan.

Hadi Ahmadi, yang telah ditahan di Jakarta sejak Jun lepas, kini dalam perjalanan ke Perth atas permintaan Australia, lapor the Australian Associated Press.

Beliau didakwa menyeludup lebih 900 orang yang mencari perlindungan ke Australia dalam empat pelayaran berasingan dari April hingga Ogos 2001.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bulan lepas meluluskan ekstradisi Ahmadi. Jurucakap jabatan imigresen Indonesia mengesahkan Ahmadi dijadual berlepas dari Jakarta pada Selasa petang, waktu tempatan. Adalah difahamkan Ahmadi akan didakwa secara rasmi di Perth oleh Polis Federal Australia.

Semasa Ahmadi ditangkap, pihak berkuasa menyifatkan beliau yang menggunakan lebih sedozen nama lain sebagai "ikan besar" dalam kegiatan menyeludup manusia.

Ahmadi menafikan dakwaan itu. BERNAMA

Artikel Lain