suria

Peletakkan jawatan Pegawai Khas tiada unsur politik - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menegaskan peletakan jawatan oleh Pegawai Tugastugas Khas beliau Zahir Hassan awal bulan ini tiada berkaitan dengan unsur politik.

Katanya peletakan jawatan itu dibuat atas kehendak diri sendiri untuk menumpukan perhatian kepada perniagaannya.

"Saya terima permintaan beliau (untuk meletak jawatan), tidak ada tekanan politik tetapi tekanan business (perniagaan) beliau," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas peletakan jawatan Zahir yang didakwa berpunca daripada tekanan politik oleh pihak tertentu termasuklah bebanan tugas.

Zahir yang difahamkan kini berada di luar negara sempat berkhidmat kurang dari setahun bersama Abdul Khalid selepas memulakan tugas itu secara rasmi Ogos lepas menggantikan Mohd Yahya Mat Sahri yang melepaskan jawatan itu pada 23 Jun 2008 setelah mendakwa beliau hilang keyakinan ke atas Abdul Khalid.

Mohd Yahya berbuat demikian selepas Abdul Khalid mengumumkan pada hari yang sama penggantungan jawatannya selama dua bulan selepas beliau disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berkaitan dakwaan salah guna kuasa mengenai kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah di Petaling Jaya.

Ketika ditanya mengenai pengganti Zahir, Abdul Khalid berkata jawatan itu akan dipegang Tengku Maraziyah Tengku Sulaiman, Naib Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat Selayang. BERNAMA

Artikel Lain