suria

Pengarah syarikat pembinaan didakwa tipu saham lebih 15 juta unit

KLANG: Pengarah sebuah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang lagi pengarah syarikat itu berhubung pindahan milik lebih 15 juta unit saham, lima tahun lepas.

Yap Seng Yew, pengarah Merces Holdings Berhad, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Anita Harun.

Yap, 50, dituduh menipu Te Soh Peng , 34, dengan memperdayakan wanita itu supaya mempercayai bahawa dia (Yap) akan membuat pembayaran sebanyak RM13 juta pada 2 Mei 2006 sebagai bayaran pembelian saham Merces Holdings.

Tindakannya itu didakwa telah mendorong Te memindah milik sebanyak 15,009,000 unit saham Merces Holdings kepada Yap.

Yap didakwa melakukan kesalahan itu di No: 51 & 53, Jalan Batai Laut 5, Kawaan 16, Taman Intan di sini, antara Julai 2004 hingga 8 November 2004.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim Anita membenarkan Yap diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran sementara Yap diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain