suria

Tindakan Kasitah menyebabka SLDB rugi RM137 juta - Pendakwa

KUALA LUMPUR: Tan Sri Kasitah Gaddam tidak mendedahkan tawaran yang dibuat oleh PPB Oil Palms kepada Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) sehingga mengakibatkan lembaga itu mengalami kerugian lebih RM137.5 juta pada 1996, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud berkata Kasitah telah menyembunyikan maklumat daripada ahli lembaga menyebabkan lembaga itu pada 22 Oktober 1996 meluluskan penjualan saham Sapi Plantations kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd, pada harga yang jauh lebih rendah.

Katanya keterangan saksi pendakwa menunjukkan ahli lembaga tidak akan meluluskan penjualan 16.8 juta saham Sapi kepada Briskmark jika Kasitah, selaku pengerusi SLDB ketika itu, telah memaklumkan butiran tawaran PPB Oil Palms.

"Kasitah dengan sengaja menipu ahli lembaga mengenai tawaran itu dan memujuk ahli meluluskan penjualan itu kepada Bismark di mana dia tidak menyatakan kepentingannya dalam penjualan saham tersebut," kata Masri.

Masri berkata Kasitah sendiri mempengerusikan mesyuarat lembaga itu di Hotel Fairlane di Kuala Lumpur di mana ia merupakan mesyuarat lembaga pertama di luar Kota Kinabalu.

Pada mesyuarat itu, Kasitah secara aktif mengambil bahagian dalam membuat keputusan selepas dia dijanjikan 3.36 juta saham PPB Oil Palms oleh Pengarah Briskmark Datuk Wasli Mohd Said, katanya.

Katanya keterangan juga menunjukkan sebelum mesyuarat lembaga pada 22 Oktober 1996, Kasitah mempunyai manfaat kewangan hasil penjualan saham tersebut.

Masri berkata sebelum penjualan saham itu kepada Briskmark, Kasitah pada mulanya telah memperoleh kelulusan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Kurup, menteri yang bertanggungjawab terhadap SLDb, di mana dia telah mencadangkan dua syarikat Bumiputera membeli saham tersebut.

"Keterangan yang dikumpul menunjukkan syarikat berkenaan sama ada baru ditubuhkan atau tidak aktif atau akaun mereka tidak terurus dan mereka tidak mempunyai pejabat tetap," katanya.

Katanya walaupun tidak ada keterangan langsung untuk menunjukkan bahawa Kasitah mempunyai kepentingan langsung dalam keduadua syarikat Bumiputera itu namum tindakannya ketika itu mengancam menukar pengurus besar SLDB Datuk Mohd Tahir Jaafar menunjukkan dia akan menerima manfaat daripada penjualan itu.

Kasitah, 60, bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi SLDB untuk kepentingan kewanganya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantations yang dipegang oleh lembaga tersebut kepada Briskmark.

Dia juga didakwa menipu SLDB dengan tidak mengumumkan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Planatations dalam cadangan PPB untuk disenaraikan pada Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE), kini Bursa Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azmi Ariffin, yang membantu pasukan pendakwaan, berkata tanpa sebarang keraguan Kasitah telah menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk manfaat kewanganya.

Katanya Kasitah terdesak untuk melunaskan pinjaman banknya berjumlah RM10.9 juta di mana DCB Bank (kini RHB Bank) telah mengeluarkan tiga notis tuntutan untuk melunaskan pinjaman tersebut.

"Kasitah melihat peluang untuk mendapatkan wang dengan membabitkan diri dalam penjualan saham Sapi," kata Azmi.

Katanya sebagai langkah pertama, Tahir, yang membantah penjualan saham itu kepada dua syarikat Bumiputera itu, ditukar secara mengejut dari Yayasan Sabah dan Kasitah bekerjasama dengan Wasli, pengurus besar baru SLDb, untuk menjual saham kepada Briskmark dan kemudian melunaskan pinjamannya dengan bank.

Azmi juga berkata tidak ada keterangan bahawa Kasitah menjual sahamnya dalam Intra Oil Sdn Bhd dalam melunaskan pinjaman bank seperti dihujah oleh pihak pembelaan.

"Kami menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah mewujudkan 'prima facie' terhadap tertuduh. Kami menggesa mahkamah untuk memanggil tertuduh membela diri atas kedua-dua tuduhan itu," katanya.

Peguam Kasitah, Datuk Muhammad Shafee Abdullah akan membalas hujahan pendakwaan di hadapan Hakim Suraya Othman Jumaat ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain