suria

Polis tahan 14 lelaki, tumpas dua geng Mat Rempit

KUALA LUMPUR: Polis memberkas 14 lelaki berumur antara 16 dan 22 tahun dari dua kumpulan Mat Rempit yang dipercayai terlibat dengan jenayah samun dan ragut di sekitar Cheras dan Kajang dalam tiga tangkapan bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata dalam serbuan pertama polis berjaya menahan seorang lelaki yang menjadi ketua kumpulan Mat Rempit, yang dikenali dengan nama panggilan 'Balang' yang berumur 19 tahun.

"Susulan penangkapan Balang, polis memberkas 10 lagi rakannya yang berumur antara 18 dan 20 tahun yang menggelar diri mereka sebagai 'Thug Geng Balang'," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Kesemua anggota kumpulan itu ditangkap di sebuah rumah di Taman Cheras Utama dan mereka dipercayai mula bergerak aktif dalam jenayah samun sejak Januari tahun ini.

Amir berkata Balang sebelum ini merupakan salah seorang anggota kumpulan Mat Rempit yang pernah terlibat dengan jenayah samun dan ragut di sekitar Cheras tahun lepas.

"Tahun lepas polis menangkap lapan rakan Balang kerana terbabit dengan kejadian samun bersenjata dan mereka dituduh di mahkamah pada bulan Ogos, namun ketika itu Balang gagal dikesan polis," katanya.

Sementara itu dalam tangkapan ketiga Amir berkata polis memberkas tiga orang Mat Rempit dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah teres di Bandar Baru Cheras Perdana.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berumur lingkungan 20-an yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Geng Enal' itu dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan mencuri motosikal serta mencuri kelengkapan kereta sejak awal Januari.

"Kumpulan Enal menjadikan kawasan perumahan dan rumah kedai sebagai sasaran dalam menjalankan kegiatan mereka. Mereka bertindak mematahkan kunci handle motosikal dan menggunakan palam pencucuh untuk memecahkan cermin kereta mangsa," kata Amir.

Amir berkata dengan tertangkapnya kumpulan terbabit polis berjaya menyelesaikan enam kes kecurian motosikal dan 20 kes curi dalam kenderaan sepanjang Jan hingga Mac tahun ini. BERNAMA

Artikel Lain