suria

Suami isteri tauke pil kuda ditahan polis

JELI: Polis menahan sepasang suami isteri yang menjalankan kegiatan mengedar pil kuda di sekitar Kuala Balah dekat sini, dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Jering, dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Muhamad Hanifah Ab Malik berkata dalam serbuan yang dilakukan kirakira pukul 6.30 pagi itu, pasangan suami isteri berusia 44 dan 41 tahun itu dikatakan tidak menyedari kehadiran polis ekoran sedang nyenyak tidur bersama seorang anak perempuan mereka yang berusia satu tahun.

"Serbuan dilakukan oleh enam anggota polis diketuai Inspektor Samsuddin Paweddai dan melalui serbuan itu pihak kita berjaya merampas sejumlah 746 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM22,380.

"Pil berkenaan ditemui dalam sebuah stor dalam keadaan kesemuanya telah siap dibungkus namun dipercayai tidak sempat diedarkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah lampau apabila pernah ditahan polis pada tahun 1995 berikutan disabitkan kes dadah. Beliau berkata pasangan itu kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain