suria

Tarikh peralihan kuasa Pak Lah-Najib kekal 'rahsia'

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak terus merahsiakan tarikh peralihan kuasa di sebalik spekulasi pelbagai pihak bahawa peristiwa penting itu akan berlangsung beberapa hari sebelum tiga pilihan raya kecil serentak 7 April ini.

Ketika ditemui wartawan di Teluk Sepanggar, Sabah semalam, Abdullah memberitahu, beliau sudah mempunyai tarikh khusus bagi menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Najib yang juga Menteri Kewangan.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan dengan tepat tarikh tersebut.

"Saya perlu membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu. Kami berbincang tentang banyak perkara," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah mempunyai satu tarikh tertentu, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata: "Kita mesti ada tarikh."

Dalam pada itu, Najib yang turut diajukan soalan tersebut meminta semua pihak menunggu tarikh rasmi yang akan diumumkan kemudian.

Kata beliau, tarikh tersebut akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada waktu yang sesuai.

"Apa juga tarikh, anda perlu tunggu sehingga pengumuman rasmi," kata beliau selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri Johor di sini semalam.

Kabinet akan mengadakan mesyuarat Kabinet esok.

Pada 18 dan 19 Mac ini Majlis Raja-Raja dijadual bersidang.

Abdullah sudah pasti melepaskan jawatan Presiden Umno 28 Mac ini kerana beliau tidak bertanding, sebaliknya ia dimenangi Najib tanpa saingan.

Perhimpunan Agung Tahunan Umno berlangsung mulai 25 hingga 28 Mac dan disusuli hari penamaan calon pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai pada keesokan hari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain