suria

Kastam Selangor patahkan cubaan seludup rokok

PELABUHAN KLANG: Kastam cawangan Selangor mematahkan dua cubaan menyeludup rokok putih dan kretek bernilai lebih RM6 juta semalam.

Rampasan dilakukan di Pulau Indah dan di Kuala Selangor.

Pemangku Pengarah Kastam Selangor, Saadon Mohd Dros berkata sembilan juta batang rokok puteh bernilai RM1.5 juta yang diisikan ke dalam 45,000 karton dirampas di Pulau Indah yang melibatkan cukai kira-kira RM4.5 juta.

"Rokok jenama D&J ini dirampas dari satu kontena di Lapangan Pemeriksaan Kontena di Pulau Indah kira-kira 3.45 petang.

"Kotak-kotak rokok ini diikrar sebagai mengandungi 'diapers' atau lampin bayi dan dipercayai berasal dari Dubai, yang belum lulus kastam kerana tiada label cukai dan dakwat keselamatan di kotak-kotak berkenaan.

"Pihak penyeludup meletakkan lapisan pertama kontena dengan kotakkotak berisi 'diapers' tetapi lapisan berikutnya adalah kotakkotak berisi rokok putih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya sehubungan rampasan itu, seorang rakyat tempatan berumur 40an sedang disoal siasat sementara siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas agen perkapalan dan syarikat terlibat.

Saadon berkata dalam rampasan seterusnya di Kuala Selangor, rokok kretek bernilai RM30,940 dirampas yang melibatkan cukai RM89,541.20.

Rampasan dibuat antara pukul 4.15 petang hingga 5.30 petang, apabila kastam menjumpai dua buah kereta di kawasan Sabak Bernam dan Batang Berjuntai.

"Kedua-dua kereta ini telah ditinggalkan tanpa pemandu dan hasil pemeriksaan mendapati ianya membawa muatan rokok kretek pelbagai jenis seberat 360.36 kg," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan boleh menghubungi talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-88-55 atau 03-31792321. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain