suria

Empat pelajar buli rakan sekolah ditahan

KUANTAN: Akibat enggan mengambilkan air minuman, seorang pelajar tingkatan tiga ditendang empat pelajar senior dalam satu kejadian buli di sebuah sekolah berasrama penuh di sini, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, ACP T. Narenasegaran berkata, dalam kejadian pada 11 malam itu, salah seorang daripada pelajar tingkatan lima berkenaan mengarahkan mangsa untuk mengambil beberapa tin air minuman di dalam sebuah bilik asrama namun tidak diendahkan mangsa.

Beliau berkata, keempatempat pelajar terbabit yang marah dengan tindakan mangsa kemudian bertindak menendang badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan ringan.

"Mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada warden asrama sebelum diadukan kepada polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, polis yang menerima laporan kemudian menahan empat pelajar berkenaan pada keesokannya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Dalam kes berasingan, seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dipercayai menjadi mangsa rogol seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah rumah di Taman Maju Jaya dekat Triang, Jumaat lepas.

Narenasegaran berkata, ketika kejadian pada 3.15 petang, mangsa yang berusia 35 tahun berada bersendirian di rumahnya selepas suaminya yang berusia 55 tahun keluar menoreh getah.

"Suspek yang merupakan penduduk berdekatan mengambil kesempatan dan merogol mangsa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan tersebut diketahui suami mangsa yang secara kebetulan pulang dari menoreh getah.

Katanya, pelajar terbabit kemudian cuba melarikan diri namun berjaya ditahan suami mangsa sebelum diserahkan kepada polis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain