suria

Pasangan warga emas, anak dijumpai mati dekat gaung

MUAR: Sepasang suami isteri warga emas dijumpai mati dalam kereta yang mereka naiki dekat gaung sedalam empat meter di Kilometer 20, Jalan Muar-Pagoh, berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh di sini malam tadi.

Pasangan itu dikenali sebagai Supaat Kemis, 71, dan isterinya, Siti Maimunah Mustafa, 60, berasal dari 116, Kampung Panjang Sari, Pagoh.

Pasangan tersebut dijumpai terikat dengan tali pinggang keledar dalam kereta Proton Tiara mereka pada pukul 8.20 malam.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Mohd Nasir Ramli memberitahu, sebelum itu polis menemui mayat anak down sindrom pasangan tersebut, Jumiah, 14, yang dihanyutkan air di saliran air lima kilometer dari tempat kejadian 3.30 petang Jumaat lalu.

Katanya, penemuan mayat pasangan tersebut adalah hasil daripada gerakan polis mengesan mereka setelah menerima aduan dari keluarga mereka yang mengatakan pasangan itu tidak pulang ke rumah selepas keluar rumah antara pukul 8 pagi hinga 10 pagi Khamis lalu.

"Berdasarkan kesan tayar, kereta yang dipandu Supaat dipercayai terbabas lalu terhumban ke dalam gaung di sebelah kiri jalan di mana anak perempuannya, Jumiah tercampak keluar dan hanyut dibawa air deras dalam hujan lebat di saliran air itu sebelum mayatnya dijumpai pada petang Jumaat lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Muar terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mayat mangsa dengan memotong bahagian bumbung kereta.

Polis masih menunggu laporan bedah siasat ke atas kesemua mangsa di Hospital Pakar Sultanah Fatimah hari ini, kata beliau. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain