suria

Pengkritik Samy Vellu dijangka sertai semula MIC

KUALA LUMPUR: K. P. Samy, salah seorang pengkritik bersuara lantang terhadap Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, yang dipecat dari parti tahun lepas, dijangka akan diterima semula ke dalam parti itu tidak lama lagi.

Ketika dihubungi hari ini, bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu, mengakui bahawa beliau akan menyertai MIC dan akan mengadakan sidang akhbar mengenai statusnya dalam masa sehari dua ini.

K.P.Samy pernah dikaitkan dengan pertubuhan haram, Hindraf.

"Saya menyertai semula MIC bagi meningkatkan imej Barisan Nasional (BN) dan MIC. Saya akan terus menyuarakan isu-isu tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya di sini.

K.P. Samy, bekas pengerusi MIC cawangan Shahbandar, Shah Alam, dipecat dari MIC selepas menyokong secara terbuka demonstrasi Hindraf di ibu negara pada November 2007.

Beliau, yang dikatakan penyokong setia bekas Timbalan Presiden Datuk S. Subramaniam, berkata beliau tidak pernah menentang kerajaan BN dan kini sedar bahawa BN memberi bantuan kepada kaum India tetapi bantuan itu tidak pernah sampai ke akar umbi.

"Sejak dipecat, saya menerima beberapa tawaran dari pelbagai parti termasuk pembangkang tetapi tidak menyertainya kerana saya masih yakin dengan MIC dan BN.

"Walaupun, saya berada dalam MIC sebelum ini, ada situasi di mana saya tidak setuju dan menyuarakan secara terbuka," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan terus bersuara lantang terhadap kepimpinan Samy Vellu, katanya: "Saya akan berbuat begitu jika dia melakukan sebarang kesilapan."

"Hakikatnya, jika mentor politik saya (Subramaniam) melakukan kesilapan juga, saya tetap akan bersuara. Ini sama bagi pemimpin lain dalam parti. Perlu ada suara untuk memperbaiki kesilapan," katanya.

Mengenai kepimpinan Samy Vellu, yang menerajui parti sejak 1979, katanya pemimpin tertinggi itu perlu menetapkan tarikh pengundurannya dari arena politik.

"Selepas kekalahannya pada pilihan raya umum lepas, katanya (Samy Vellu) dia mahu membina semula parti. Ini adalah tanggungjawab seorang pemimpin. Apa yang perlu dia lakukan sekarang ialah untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa dan memilih penggantinya," katanya.

Ahli perniagaan itu berkata kini bukan masa untuk berselisih faham atau mewujudkan pertikaian dalam parti tetapi sebaliknya semua pemimpin perlu bekerjasama untuk mendapatkan semula keyakinan dan sokongan masyarakat India di negara ini.

CWC akan mengadakan mesyuarat pagi esok dan agenda utama dijangka dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah permohonan K.P.Samy untuk menyertai semula parti itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain