suria

Azizan berenang kelilingi Tasik Putrajaya sebelum ke Selat Inggeris

KANGAR: Perenang veteren, Azizan Ali, 62, yang berhasrat mencipta rekod sebagai rakyat Malaysia tertua berenang menyeberangi Selat Inggeris Julai ini sudah bersedia untuk berenang mengelilingi Tasik Putrajaya satu pusingan sejauh 22 kilometer pada 1 Februari ini. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dijadualkan akan melakukan pelepasan acara itu pukul 9 pagi.

Program berenang di Tasik Putrajaya itu dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri Perlis, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh (STAROBA), dan syarikat Eagle Aeronautic Sdn Bhd.

Jurucakap penganjur, Salim Ahmad memberitahu Bernama hari ini, sekiranya bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Perlis itu berjaya berenang mengikut tempoh yang dijadualkan, kejayaannya itu akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Selepas menamatkan acara renang itu, Azizan mengayuh basikal pula sejauh 22 kilometer mengelilingi sekitar kawasan Putrajaya.

Katanya, ini adalah sebahagian program latihan sebelum melaksanakan misi berenang menyeberangi Selat Inggeris daripada pelabuhan Dover, England ke pelabuhan Calais di Perancis sejauh 40 kilometer yang dijadualkan pada bulan Julai akan datang.

Selepas sampai di pelabuhan Calais, Azizan akan berkayak pula kembali ke pelabuhan Dover dan dari situ akan mengayuh basikal sekitar pelabuhan Dover sejauh 40 kilometer.

Menurut Salim, sebelum bertolak ke England, Azizan akan membuat latihan terakhir dengan berenang dari jeti Kuala Perlis ke Pulau Brasmana di perairan Thailand dan kemudian mengelilingi pulau tersebut terus kembali ke Kuala Perlis untuk mengayuh kenu mengikut laluan sama.

Selesai berkenu yang akan berakhir di jeti Kuala Perlis, beliau akan mengayuh basikal dari Kuala Perlis mengikut lebuhraya Kuala Perlis-Changlun hingga ke pusingan lebuhraya utaraselatan di Changlun dan kemudian mengayuh balik ke Kangar.

Artikel Sebelum

Artikel Lain