suria

Demonstrasi di Dataran Merdeka Sabtu lepas tiada permit

KUALA LUMPUR: Demonstrasi anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Dataran Merdeka Sabtu lepas diadakan tanpa permit polis, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata, polis bertindak selaras dengan keadaan ketika itu, dan sudahpun meminta mereka bersurai dengan baik memandangkan mereka tidak memiliki permit.

"Apabila hendak berdemonstrasi, ia perlu diadakan mengikut lunas undang-undang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini."

"Jika hendak adakan demonstrasi, dapatkan permit dari polis. Jika tidak, polis akan arahkan supaya orang ramai bersurai dan mereka perlu mematuhinya. Jangan lakukan sesuatu yang boleh menganggu ketenteraman awam," tambahnya.

Sabtu lepas, polis menahan 21 orang termasuk lapan wanita dan kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun di Dataran Merdeka selepas mereka ingkar terhadap arahan supaya bersurai.

Antara yang ditahan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim; Anggota Parlimen, Klang Charles Santiago dan Penyelaras sebuah Badan Bukan Kerajaan, Jerit, Arutchelvan Subramaniam.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh PSM bagi membantah konflik di Gaza dan Sri Lanka.

Terdahulu kumpulan itu dilihat berarak dari bangunan Majlis Peguam ke Dataran Merdeka pada kirakira pukul 8 malam dan polis mulai bertindak kirakira setengah jam kemudian apabila mereka enggan bersurai. BERNAMA

Artikel Lain