suria

Tiga warga asing suspek kes pecah rumah ditahan

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah membabitkan warga asing di sekitar ibu negara dengan tertangkapnya tiga suspek, masingmasing warganegara Peru, Guatemala dan Mexico dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Ahmad Bhari Abdul Khalid berkata ketigatiga warga asing itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan mengenai kejadian pecah rumah di kawasan perumahan Bukit Damansara pada Ahad lepas.

Hasil siasatan, polis menahan warga Peru berumur 25 tahun itu di Jalan Syed Putra di sini pada pukul 6 petang, 6 Jan lepas, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Daripada soal siasat terhadap lelaki itu, katanya polis berjaya menahan dua lagi anggota sindiket itu dalam tempoh tiga jam dengan suspek warga Guatemala berumur 28 tahun ditahan di Jalan Klang Lama manakala suspek warga Mexico berumur lingkungan 40an ditahan berhampiran lorong Syed Putra.

"Kesemua suspek menggunakan pas pelancong untuk masuk (ke negara ini) dan sudah hampir dua bulan berada di sini," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek warga Peru itu mempunyai rekod jenayah pecah rumah di negara ini pada Jun 2008 dan masuk semula ke negara ini dengan menggunakan identiti yang berbeza.

Modus operandi suspek ialah menjalankan kegiatan pecah rumah pada waktu tengah hari ketika penghuni keluar bekerja dengan memakai topi dan menggunakan kenderaan MPV bercermin gelap bagi mengelakkan identiti mereka daripada dikenal pasti.

"Mereka akan pecah masuk ke rumah pada waktu tengah hari ketika penghuni keluar bekerja dan apabila loceng ditekan berulangkali tetapi tiada tuan rumah yang keluar, mereka akan bertindak memanjat pagar dan memecah masuk ke rumah terbabit."

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai jenis peralatan elektronik bernilai RM250,000 daripada suspek.

Ketiga-tiga suspek direman sehingga 20 Jan ini, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis mengesan tiga suspek berumur lingkungan 20an hingga 30an terlibat dalam kegiatan samun di kawasan perumahan elit dengan menyamar sebagai pekerja penyelenggara Telekom Malaysia (TM).

"Mereka memakai baju dan tag pekerja TM yang palsu. Kumpulan juga ini menjalankan kegiatan samun pada waktu tuan rumah keluar bekerja.

"Mereka akan perkenalkan diri sebagai pekerja TM kepada orang gaji berkenaan dan kemudian akan mengikat orang gaji tersebut sebelum mengambil barangbarang berharga di rumah mangsa," katanya.

Katanya, pemilik rumah di sekitar Lembah Klang yang menjadi mangsa pecah rumah diminta datang atau menghubungi IPD Brickfileds di talian 0322742222 untuk membantu siasatan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain