suria

22 saksi beri keterangan kes tahanan disiram air panas

KUALA LUMPUR: Seramai 22 saksi dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung laporan seorang penjaga kereta, B. Prabakar, 27, yang mendakwa dipukul dan disiram air panas sehingga dadanya melecur oleh sekumpulan anggota polis semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Datuk Mortadza Nazarene berkata saksi berkenaan termasuklah pakar perubatan yang merawat Prabakar bagi menyiasat laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 30 Dis lepas.

"Sepanjang siasatan kes, Prabakar memberi kerjasama yang memuaskan dan begitu juga saksi-saksi di kalangan pegawai dan anggota dari IPD Bricfields yang memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 23 Dis lepas, Prabakar ditahan oleh beberapa anggota polis dari IPD Brickfields semasa sedang bertugas di Sri Hartamas, atas dakwaan bahawa dia adalah suspek kes samun di kawasan itu.

Prabakar, yang menafikan dia terlibat dalam kes samun itu, mendakwa dipukul dan disiram air panas oleh 10 anggota polis termasuk seorang yang berpangkat sarjan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain