suria

Caj berlebihan: MOSTI puas hati keterangan Angkasawan Negara

PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) semalam berpuas hati dengan keterangan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berhubung dakwaan beliau meminta wang bagi ceramah dan motivasi yang disertainya.

Timbalan Menterinya, Fadillah Yusof berkata, dalam perjumpaan kira-kira sejam bermula jam tiga petang semalam di kementeriannya di Putrajaya, Dr. Sheikh Muszaphar telah menjelaskan secara terperinci tentang dakwaan tersebut.

"Kita telah berjumpa dengan beliau petang tadi. Setakat ini kita berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh beliau," katanya ketika dihubungi mStar Online, semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keterangan yang diberikan Dr. Sheikh Muszaphar.

Katanya, pihaknya akan membuat kenyataan berhubung perkara itu selepas laporan mengenainya siap dan diteliti oleh Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili.

"Jawatankuasa akan bermesyuarat semula Rabu ini untuk mengesahkan segala maklumat yang diperoleh hari ini dan daripada situ, kita akan sediakan satu laporan bertulis untuk diserahkan kepada Menteri," katanya.

Kementerian itu telah pun menemui Dr. Sheikh Muszaphar sekali awal bulan lalu.

Kontroversi ini mula timbul apabila sebuah akhbar dan portal berita mendakwa Dr. Sheikh Muszaphar mengenakan caj RM8,000 sejam dalam sesi ceramahnya, tidak termasuk penginapan hotel serta tambang.

Memetik sumber korporat, portal berita itu turut melaporkan Dr. Sheikh Muszaphar yang berjaya menjadi warga Malaysia pertama berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober 2007, memperoleh kira-kira RM1.2 juta hasil bayaran itu.

Dalam pada itu, Maximus berkata, pembaharuan kontrak Dr Sheikh Muszaphar Shukor dengan MOSTI belum diputuskan sementara menunggu satu hasil siasatan terhadap beliau selesai dibuat.

Sehubungan itu, sebuah panel khas telah dilantik oleh kementerian tersebut bagi menyiasat perkara berkenaan.

"Dia baru balik dari menunaikan haji. Jadi dalam beberapa minggu ini perbincangan akan dilakukan antara beliau dengan timbalan menteri untuk menyelesaikan perkara-perkara berbangkit dan saya yakin ia dapat diselesaikan secara damai.

"Kita akan melihat sejauh mana seriusnya perkara ini. Beliau perlu menjelaskan beberapa perkara dan kita akan melihat sama ada kita berpuas hati dengan penjelasan beliau," kata Ongkili kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Pengarah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), di sini hari ini.

Beliau berkata, Sheikh Muszaphar juga perlu memohon secara bertulis untuk membolehkan kontraknya yang tamat penghujung tahun lalu dapat diperbaharui.

"Kita telah berbincang untuk menyambung kontrak Mejar Dr Faiz Khaleed (pelatih angkasawan), berdasarkan tahun ke tahun. Perkara yang sama akan ditawarkan kepada Dr Sheikh Muszaphar, bagaimanapun tertakluk kepada hasil siasatan terhadap beliau," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain