suria

Bekas pemain bola sepak kebangsaan dituduh bergaduh

KUALA LUMPUR: Bekas pemain pertahanan bola sepak negara dan seorang rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan merusuh secara bergaduh dengan empat pemain bola sepak Kelab Sukan Air Panas Setapak bulan lepas.

M.Elangoo, 32, yang mewakili negara dalam tahun 90an, dan rakannya, A.Sathiaseelan, 35, didakwa bersamasama 10 orang lagi yang masih bebas telah bergaduh dengan Mohamad Ishak Kunju Mohamad, 37, S. Poovalingam, 37, M. Siva Shanker, 36 dan V. Balakrishnan, 39, dengan menggunakan kayu hoki dan kerusi plastik.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kedai makan SMT Food Corner, No 1, Jalan Air Pusing, Air Panas, Setapak, pada 3.30 pagi 20 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Majistret Norazah Kasran mengenakan ikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Cif Insp Aliff Charles Belon manakala Elangoo dan Sathiaseelan tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain