suria

Caj berlebihan: MOSTI temui Angkasawan Negara hari ini

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof mengesahkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha hari ini bagi mendengar keterangannya berhubung dakwaan beliau meminta wang bagi ceramah dan motivasi yang disertainya.

Beliau berkata, Sheikh Muszaphar juga perlu diberikan ruang untuk menjelaskan sebarang tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

"Selain meneliti surat aduan yang diterima dan juga berdasarkan laporan awal mengenai siasatan yang dijalankan, kita akan minta Sheikh Muszaphar beri penjelasan.

"Kita perlu adil dan peluang perlu diberikan kepada beliau untuk jelaskan bagi pihaknya," katanya kepada mStar Online.

Kontroversi ini mula timbul apabila sebuah akhbar dan portal berita mendakwa Dr. Sheikh Muszaphar mengenakan caj RM8,000 sejam dalam sesi ceramahnya, tidak termasuk penginapan hotel serta tambang.

Memetik sumber korporat, portal berita itu turut melaporkan Sheikh Muszaphar yang berjaya menjadi warga Malaysia pertama berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober 2007, memperoleh kira-kira RM1.2 juta hasil bayaran itu.

Fadillah berkata, selepas mendapatkan penjelasan Sheikh Muszaphar hari ini, laporan mengenainya akan diserahkan kepada Menteri, Datuk Dr. Maximus Ongkili untuk diteliti.

"Hasil penjelasan yang akan kita dengar esok dan laporan siasatan awal kemudiannya akan diserahkan kepada menteri.

"Lepas diteliti barulah kita akan tahu apa perkembangannya nanti," katanya.

Kementerian itu telah pun menemui Dr. Sheikh Muszaphar sekali awal bulan lalu.

Artikel Lain