suria

Hishamuddin tidak tunduk dengan sebarang ugutan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran tidak akan tergesa-gesa atau tunduk terhadap sebarang ugutan berhubung pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Apa yang perlu gopoh sangat, kerana apa jua keputusan mengenai perkara itu kalau dibuat sekarang pun pelaksanaannya akan dibuat tahun depan juga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai desakan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk menolak PPSMI, beliau berkata: "Kalau nak buat apa jua tindakan teruskanlah, tetapi pihak kementerian tetap berpegang dengan agenda bahawa keputusan adalah bergantung kepada pandangan semua pihak bukan hanya pandangan kumpulan tertentu sahaja."

Setakat ini Hishammuddin berkata kementeriannya sudah mengkaji serta meneliti 22 kertas kajian mengenai PPSMI yang kini sudah berada di peringkat akhir. "Keputusan kajian ini akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya," katanya.

Terdahulu Hishammuddin menyampaikan perutusan Tahun Baru 2009 yang antara lain mengumumkan kerajaan akan terus komited untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan tambahan walaupun dalam kegawatan ekonomi bagi memastikan nasib pelajar miskin, kurang bernasib baik serta kurang upaya terus terbela.

Justeru itu katanya, mulai tahun ini Elaun Khas Murid Kurang Upaya akan dinaikkan daripada RM50 kepada RM150, selain sebanyak 704 kelas prasekolah akan dibuka di seluruh negara.

Hishammuddin turut melancarkan program realiti televisyen terbitan kementerian bertajuk 'Kemiskininan Bukan Penghalang" yang akan disiarkan di RTM 1 mulai bulan depan dan juga buku panduan mengenai "Bantuan Persekolahan Kementerian Pelajaran Malaysia".

Mengenai pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, beliau yang juga Ketua Pemuda Umno berkata pihak pembangkang ternyata ketandusan idea dalam usaha menawan hati pengundi.

"Biar orang ramai menilai sendiri tuduhan pembangkang yang menyamakan orang Umno sama dengan Israel ... sebab itu rakyat Palestin dilayan seperti itu ... kerana umat Islam bermusuh sesama sendiri hanya kerana kepentingan politik yang akhirnya melemahkan umat Islam," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain